Jumaat, 15 Januari 2010

Pandangan Kedua: Artikel Ust. Nasruddin Tantawi

Seorang Pelayar Blog merujuk kepada artikel Nasruddin Tantawi bertajuk :

Kalimah Allah dan Syariat Allah

Point #1: Ayat2 yang dinaqal oleh Ustaz Nasruddin Tantawi tidak tersabit mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh kaum bukan Islam. Ayat2 yang dipetik oleh Ustaz Nasruddin Tantawi hanya membuktikan betapa perbuatan mensyirikkan Allah itu DIMURKAI oleh Allah.
Kalau orang Kristian dan Yahudi tidak mempercayai Allah yang sama dengan kita, bagaimanakah kita hendak kata mereka telah melakukan syirik?

Ayat-ayat yang dipetik oleh ustaz Nasruddin Tantawi adalah :
1.0 Firman Allah swt :


و قالوا اتخذ الرحمن ولدا لقد جئتم شيئا إدا تكاد السموات يتفطرن منه و تنشق الأرض و تخر الجبال هدا أن دعوا للرحمن ولد

dan mereka berkata Allah Tuhan Yang Maha Pengasih mempunyai anak . Sungguh kamu telah membawa sesuatu yang sangat mungkar . Hampir saja langit pecah dan bumi terbelah dan gunung ganang runtuh kerana kenyataan [ ucapan ] itu . Kerana mereka menganggap Allah Tuhan Yang Maha Pengasih mempunyai anak .

أئنكم لتشهدون أن مع الله ءالهة أخرى قل لا أشهد قل إنما هو اله واحد وإنني برئ مما تشركون

Dapatkah [ bolehkah ] kamu benar - benar bersaksi bahawa ada tuhan - tuhan lain selain Allah ? Katakanlah : Aku tidak dapat bersaksi . Katakanlah : Sesungguhnya Dialah [ Allah ] Tuhan Yang Maha Esa dan aku berlepas diri [ tidak boleh sokong/terima ] terhadap apa yang kamu sekutukan dengan Allah swt .

Saya tidak nampak walau satu pernyataan dari Allah SWT mengharamkan orang Kristian dan Yahudi menggunakan nama Allah dari kedua-dua ayat di atas.

ADA ATAU TIDAK ULAMA2 TERDAHULU MENGHARAMKANNYA?

Jadi, untuk menyelesaikan masalah ini, saya memohon supaya Ustaz Nasruddin Tantawi dapat menaqal mana-mana kitab tafseer atau feqah yang muktabar yang mengharamkan penggunaan nama Allah oleh kaum Yahudi dan Nasrani berdasarkan kedua-dua ayat di atas.

Ataupun, Ustaz Nasruddin Tantawi merasakan beliau adalah seorang yang bertaraf mujtahid-mufaseeren yang mampu mengistimbat hukum terus dari Al quran?

Harus diingat orang Yahudi dan Nasrani telah menggunakan nama Allah di zaman ulama-ulama besar dalam sejarah Islam masih hidup seperti Imam Syafiee, Imam Ahmad, Imam Malik dsbnya. Malahan sewaktu ulama-ulama besar Sepanyol juga masih hidup seperti anak-anak murid Imam Malik, Ibnu Hazm, Imam Qurthubi dan sebagainya.

Sekiranya perkara ini haram PASTI kita akan jumpa pengharamanya dalam kutub tulisan ulama2 besar ini (rahmatullahi alai hum). Ustaz Nasruddin Tantawi sebagai seorang yang mengaji di Azhar sudah pasti dengan mudah dapat menaqal pendapat ulama2 besar ini dalam tulisan beliau.

Bagi saya lebih selamat kita bersandar kepada pendapat Imam-imam yang muktabar. Dan sekiranya ada pendapat mengharamkan Kristian dan Yahudi menggunakan nama Allah, sudah tentu kita akan jumpa dalam kitab2 Tafseer dan Feqah yang muktabar.

Ini kerana kaum Kristian telah menggunakan nama Allah semenjak zaman Nabi SAW. Kristian Koptik di Mesir menggunakan nama Allah semenjak lebih 1000 tahun dahulu. Hampir-hampir sama umur dengan Universiti Al Azhar sendiri.

Ertinya ia bukan perkara baru dalam Islam dan pasti ianya terkandung dalam kutub ulama2 besar yang terdahulu. Lainlah kalau kita nak bincang pasal hukum Amanah Saham Bumiputra. Yang ni, bukaklah semua kitab2 lama pun, kita takkan jumpa hukum nya.

Bayangkan, kalau perkara “Ribath” (tempat mandi umum) pun ada hukum yang kita boleh baca dari tulisan-tulisan ulama besar2 terdahulu, inikan pula perkara besar macam kalimah Allah. Sudah tentu pengharamannya memenuhi kutub ulama2 besar terdahulu.

SAYA TAK BERANI BERLAGAK PANDAI. SAYA JAHIL DALAM AGAMA

Saya sendiri pada mulanya mahu mengambil sikap menentang penggunaan kalimah Allah oleh kaum Katholik. Tapi, saya berfikir kembali, siapakah saya ini berbanding dengan ulama-ulama besar yang terdahulu? Kalau ulama-ulama terdahulu tidak mengharamkan, siapakah saya hendak menunjuk pandai?

Maka, saya mengambil sikap untuk tidak meneruskan sikap ini dan menukar sikap saya. Saya takut dituduh sebagai angkuh dan sombong dengan membelakangi ulama-ulama besar yang terdahulu seperti Ibnu hazm yang tinggal di Sepanyol.

Saya juga sedar ilmu saya rendah dan saya tak boleh sampai ke tahap MUJTAHID dapat mengistimbat hukum terus dari Al Quran dan Sunnah.

BEBERAPA HUJJAH HUKUM SYARIAH YANG SAYA HADAPI

Di dalam Facebook ada seorang pengunjung telah memberikan alasan “Sadd Zari'ah”. Secara mudahnya ia bererti mengharamkan perkara yang bakal membawa umat Islam kepada melakukan perkara haram. Maka saya berkata kepada pengunjung facebook saya, setakat ini kalimah Allah telah digunakan di Sabah dan Sarawak semenjak sebelum Merdeka lagi. Bolehkah beliau membawa bukti telah berlakunya murtad kepada umat Islam hanya kerana orang Kristian Sabah dan Sarawak menggunakan kalimah “Allah”? Beliau tidak mampu memberikan apa-apa bukti.

Dan kaedah ini juga tidak releven lagi sebab kalimah Allah telah pun digunakan oleh orang Kristian di Sabah. Bukan benda baru.

Ada pula yang menggunakan alasan “Siyasah Syariyyah”. Tapi, mereka yang menggunakan alasan ini tidak dapat memberikan huraian yang jitu dan terperinci. Perkataan Siyasah Syariiah ini luas dan terbuka kepada banyak ijtihad dan tafsiran. Jadi, sekadar menyebut perkataan “Siyasah Syariiah” sahaja tidak mencukupi untuk menjadi alasan menolak kebenaran orang Katholik menggunakan kalimah Allah.

Harus diingat bahawa “Siyasah Syariiah” serta “Saad Zariah” bukanlah sumber hukum syariah yang disepakati oleh semua ulama. Ianya masih khilaf.

Sebagai penutup, kalau Ustaz Nasruddin dapat membawa pendapat ulama2 besar yang muktabar terdahulu mengharamkan penggunaan kalimah Allah, nescaya saya akan mengubah pendirian saya sama sekali.

Saya berpegang dengan kata-kata guru saya sewaktu membandingkan diri beliau dengan Imam Syafiee. Beliau kata kalau beliau ngaji 100 tahun pun ilmu beliau tak sampai ke tahap ilmu Imam Syafiee. Dan beliau ini telah mengaji lebih 100 shuyukh dan 51 darinya beliau mendapat “ijazah” terus dari shuyukh tersebut.

Wallahualam

Tulang Besi
________________________________________________________


Kalimah Allah dan Syariat Allah

1. Banyak pihak begitu marah dan tidak berpuashati dengan keputusan mahkamah tinggi baru - baru ini yang membenarkan sebuah akhbar [ Herald ] menggunakan nama Allah dalam penerbitan mereka .

2. Pendirian saya sendiri jelas dan tidak pernah berubah sehingga saat ini , bahawa kalimah Allah swt adalah Lafzul Jalaalah yang merujuk kepada keesaan Allah swt. Firman Allah swt :

قل هو الله أحد الله الصمد لم يلد و لم يولد و لم يكن له كفوا أحد

Katakanlah [ Wahai Muhammad ] Dialah Allah Tuhan Yang Maha Esa . Allah tempat bergantung dan meminta segala sesuatu . [ Allah ] tidak beranak dan tidak pula diperanakkan dan tidak ada sesuatu pun yang setara denganNya .
Surah al Ikhlas : 1-4

3. Sesiapa pun [ muslim atau non muslim ] yang mahu menggunakan kalimah Allah mestilah menggunakannya dengan betul iaitu Allah adalah Tuhan Yang Maha Esa dan tiada sekutu baginya . Haram dan kufur jika kita membenarkan perbuatan , tindakan atau kenyataan yang menduakan [ mensyirikkan ] Allah swt . Seperti membenarkan perkataan orang yang berkata : " Allah itu ada anak " dan seumpamanya . Kerana perkataan itu salah dan bertentangan dengan keEsaan Allah swt. walau siapa [ non muslim atau muslim ] yang berkata demikian .

4. Allah swt sendiri murka terhadap mereka yang menggunakan kalimah Allah secara salah [ dengan berkata Allah mempunyai anak ] , maka bagaimana mungkin kita boleh bersetuju dan redha jika ada yang menggunakan kalimah Allah secara salah seperti mensyirikkan Allah swt [ menganggap Allah ada anak dan isteri atau menduakan Allah dengan tuhan yang lain ] Firman Allah swt :

و قالوا اتخذ الرحمن ولدا لقد جئتم شيئا إدا تكاد السموات يتفطرن منه و تنشق الأرض و تخر الجبال هدا أن دعوا للرحمن ولد

dan mereka berkata Allah Tuhan Yang Maha Pengasih mempunyai anak . Sungguh kamu telah membawa sesuatu yang sangat mungkar . Hampir saja langit pecah dan bumi terbelah dan gunung ganang runtuh kerana kenyataan [ ucapan ] itu . Kerana mereka menganggap Allah Tuhan Yang Maha Pengasih mempunyai anak .
Surah Maryam : 88 - 91

أئنكم لتشهدون أن مع الله ءالهة أخرى قل لا أشهد قل إنما هو اله واحد وإنني برئ مما تشركون

Dapatkah [ bolehkah ] kamu benar - benar bersaksi bahawa ada tuhan - tuhan lain selain Allah ? Katakanlah : Aku tidak dapat bersaksi . Katakanlah : Sesungguhnya Dialah [ Allah ] Tuhan Yang Maha Esa dan aku berlepas diri [ tidak boleh sokong/terima ] terhadap apa yang kamu sekutukan dengan Allah swt .
Surah Al An'am : 19

5. Manakala pengguna kalimah Allah swt secara benar dan tepat sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah swt itu sendiri yang telah mengisytiharkan zatNya tiada sekutu dan bandingan [ seperti yang termaktub di dalam surah al ikhlas ] , maka ia adalah pengguna yang bijak dan benar , malah dibenarkan sekalipun ia seorang non muslim . Inilah yang Allah swt sebut di dalam al Quran :

ولئن سألتهم من خلق السموات و الأرض و سخر الشمس و القمر ليقولن الله فأنى يؤفكون

dan jika engkau bertanya kepada mereka : " siapakah yang menjadikan langit dan bumi serta menundukkan matahari dan bulan ?" nescaya mereka menjawab Allah ! maka , kenapa mereka masih boleh berpaling dari kebenaran .
Surah al Ankabut : 61

Sekitar pemafahaman dari ayat ini :

a ] Ayat ini secara jelas menunjukkan bagaimana Allah menegaskan bahawa sebahagian non muslim terutama ahli kitab mengakui bahawa Allah swt. adalah pencipta langit dan bumi [ begitulah jawapan jika ditanya kepada mereka .

b ] Ayat ini juga bukanlah dalil mutlak untuk membenarkan golongan non muslim menggunakan kalimah Allah swt sewenang - wenangnya apatah lagi jika diguna secara salah . Sebaliknya ayat ini adalah penegasan Allah swt bahawa mereka mengakui Allah swt sebagai pencipta .

c ] Ia juga bukan dialog antara kuffar dengan Nabi saw. tetapi ia adalah ayat Allah untuk menjelaskan hakikat sanubari mereka , bahawa mereka tidak boleh menyembunyikan fakta ketuhanan Allah sebagai pencipta dan pemberi rezeki . Sebab itu ayat ini bermula dengan : [Jika sekiranya kamu bertanya kepada mereka ..... ertinya ayat ini bersifat jika atau andainya .... ia bukan dialog sebenar.]

d ] Persoalan isu aqidah dalam ayat ini terhenti di atas perkataan terakhir dari ayat ini : " maka ... kenapalah mereka masih boleh berpaling dari kebenaran ? " ertinya : walau hati kecil mereka mengakui bahawa Allah swt adalah pencipta langit dan bumi , maka kenapa mereka masih berpaling dari kebenaran itu ? kenapa mereka masih mensyirikkan Allah swt ? kenapa mereka mengambil tuhan - tuhan yang lain selain daripada Allah swt ? kenapa mereka tidak menerima wahyu Allah swt yang melantik Muhammad saw sebagai rasul akhir zaman ? kenapa mereka berpaling dari kebenaran ? kenapa ?

e ] persoalan yang dicetus pada akhir ayat 61 surah al Ankabut ini jelas menunjukkan Allah swt membenarkan jika mereka mahu berkata [menggunakan kalimah] Allah sebagai tuhan yang mencipta langit dan bumi , tetapi jika mereka mahu mensyirikkan Allah swt atau mengambil tuhan yang lain selain Allah swt , maka ia dimurkai oleh Allah swt .

6. Tidak hanya menggunakan kalimah Allah swt secara salah [seperti menduakan Allah swt] sahaja yang mesti ditolak , tetapi juga termasuklah perbuatan mempersenda dan mengabaikan perlaksanaan syariat Allah swt. juga mesti ditentang dan ditolak .

7. Isu kalimah Allah ini baru timbul sehari dua dalam negara kita , tetapi pengabaian terhadap perlaksanaan syariat Allah swt telah berlaku sejak dulu . Hairannya , tiada pula orang nak marah . Malah mahkamah tinggi Malaysia pernah mengisytiharkan Malaysia bukan Negara Islam , tiada pula berlaku kebangkitan di kalangan ummat Islam untuk membantah keputusan tersebut . Kecuali sebahagian kecil ummat Islam yang konsisten berjuang untuk mendaulatkan syariat Allah swt . termasuk PAS .

8. Terlalu banyak aktiviti dalam negara kita yang bertentangan dengan syariat Allah . Mengalungkan bunga ke tugu kebangsaan sebagai contoh , telah jelas ada fatwa dari majlis fatwa kebangsaan , tetapi kerajaan masih mengamalkannya saban tahun . Tiada pula amukan dari PERKASA untuk membantah amalan itu . Sedang itu secara terang terangan menghina majlis fatwa dan menghina agama Allah . Apakah kerana ia dilakukan oleh orang yang mengaku muslim maka ia tidak diambil endah ?

9. Al Amru bil makruf dan an Nahyu anil Mungkar sebagai asas sebuah pemerintahan Islam tidak diamalkan dengan penuh tanggungjawab dalam negara kita . Terkadang seperti sengaja mereka mahu memperkecilkan ajaran Islam . Mereka buat tempat maksiat seperti kelab - kelab malam yang bercambah lalu mereka melantik pencegah maksiat supaya membuat operasi sesekali dihujung hujung bulan .

10. Bukankah ini satu persendaan ? mereka buat masjid mereka juga buat kelab malam . Mereka buat musabaqah al Quran mereka buat juga pertandingan ratu cantik . Mereka buat universiti Islam , mereka juga buat akademi fantasia . Mereka memberi sumbangan kepada fakir miskin , mereka juga melakukan rasuah dan membolot harta kekayaan negara. Mereka bukan buat amar makruf Nahi Mungkar tetapi Amar Makruf Amar Mungkar. Ini satu persendaan kepada syariat Allah swt . Ini juga mesti ditentang dan ditolak .

Posted by Nasrudin Hassan at Tantawi at 16:29

Tiada ulasan:

Catat Ulasan