Isnin, 28 September 2009

ANGGOTA AMAL DIMINTA BERSIAP-SEDIA



ARAHAN TERKINI : PENGARAH JABATAN AMAL MALAYSIA NEGERI PERAK

ZAMARUL AINI BIN ABDUL MALEK

Semua ALP, Penyelaras dan anggota Amal Perak diminta bersiap sedia akan sebarang kemungkinan cuaca buruk, banjir dan sebagainya yang mungkin akan melanda mana-mana tempat di negeri Perak atau Malaysia dalam masa-masa terdekat.

Walaupun tiada amaran khusus bahawa akan berlakunya cuaca buruk namun langkah-langkah bersiap sedia harus diambil dengan secepat mungkin. Semua anggota Amal Perak diminta bersiap sedia 24 jam sehari untuk dipanggil bertugas mulai saat ini. Seperti mana yang diketahui banjir biasa berlaku pada bulan Oktober hingga Disember (akhir tahun) kerana waktu tersebut biasanya hujan turun dengan kekerapan yang lebih banyak.

Kita juga mengetahui bahawa hari ini Filipina sedang dilanda Taufan Ketsana yang mana kedudukan Filipina juga tidak jauh dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Sebagai langkah berjaga-jaga. Kita di Jabatan Amal Malaysia Negeri Perak akan membuat persiapan yang rapi dengan memastikan semua anggota dan peralatan adalah dalam keadaan bersiap sedia.


ZAMARUL AINI BIN ABDUL MALEK

Antara kawasan-kawasan yang kerap berlaku banjir ialah :
1. Pasir Salak
2. Lekir (Manjung)
3. Bukit Gantang
4. Kampar dan Gopeng
5. Kawasan-kawasan tepi pantai
6. Kawasan-kawasan Delta Sungai

SUMBER : JABATAN METEOROLOGI MALAYSIA

UNTUK TEMPOH 72 JAM YANG AKAN DATANG

NASIHAT TAUFAN

Di keluarkan pada 11.30 pagi 29/09/2009
A) Taufan (17W) "Ketsana", dikesan berada di Latitud 15.5 Utara dan Longitud 109.2 Timur, kira-kira 222 km ke Timur Hue, Vietnam pada jam 11:00 pagi, 29 September 2009. Taufan ini dijangka akan bergerak ke arah Barat dengan kelajuan 14 kmsj.Taufan ini berada kira-kira 1302 km ke Baratlaut, Kota Kinabalu dan 1267 km ke Baratlaut Kudat, Sabah.

B) Ribut Tropika 19W, "Parma" dikesan berada di Latitud 8.3 Utara dan Longitud 139.3 Timur, 1717 km ke Timur Cebu, Filipina pada jam 11:00 pagi, 29 September 2009. Ribut Tropika ini dijangka akan bergerak ke arah Barat dengan kelajuan 27 kmsj.
Ribut Tropika ini berada kira-kira 2361 km ke Timur Sandakan dan 2484 km ke Timur Kudat, Sabah.

SEKSYEN A : AMARAN ANGIN KENCANG DAN LAUT BERGELORA (KATEGORI KETIGA)

Dipertingkatkan dari Amaran Kategori Kedua yang dikeluarkan pada 8.10 malam 23/9/2009.
Taufan (17W) Ketsana telah dicerap pada kedudukan berhampiran Latitud 15.5 Utara dan Longitud 109.2 Timur pada 11:00 pagi, 29 September 2009. Ia dijangka akan bergerak ke arah Barat dengan kelajuan 14 kmsj.
Sehubungan itu, angin kencang baratdaya dengan kelajuan dari 60 kmsj dan laut bergelora dengan ketinggian ombak sehingga 5.5 meter di perairan Condore, Reef North, Palawan, Sabah Barat dan Layang-layang dijangka akan berterusan sehingga Rabu, 30 September 2009.
Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.

SEKSYEN B : AMARAN ANGIN KENCANG DAN LAUT BERGELORA (KATEGORI KEDUA)
Angin kencang Baratdaya dengan kelajuan 50 - 60 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 4.5 meter di perairan Phuket, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Samui, Kelantan, Terengganu dan Labuan dijangka akan berterusan hingga Khamis, 1 Oktober 2009.
Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.
SEKSYEN C : AMARAN ANGIN KENCANG DAN LAUT BERGELORA (KATEGORI PERTAMA)
Angin kencang Baratdaya dengan kelajuan 40 - 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter di perairan Reef South (perairan Sarawak) dijangka akan berterusan hingga Selasa, 29 September 2009.
Keadaaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

JABATAN METEOROLOGI MALAYSIA
Dikemaskini pada 29 Sep 2009, jam 12.40 petang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan